Perasmian Pusat Agape Sibu


SIBU, 23 Feb (Bernama) — Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada Selasa melawat dan meninjau kemudahan di Pusat Agape Sibu, sebuah rumah yang menyediakan keperluan bagi golongan kanak-kanak istimewa.

Rosmah, yang mengiringi suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatan dua hari ke Sarawak, kemudian merasmikan pusat, yang pertama seumpamanya di negeri itu, yang dikendalikan oleh lima pertubuhan termasuk Lau King Howe Memorial Children’s Clinic, di bawah satu bumbung.

Beliau turut mendengar taklimat yang diberikan oleh pakar pediatrik Hospital Sibu Dr Toh Teck Hock mengenai perkhidmatan yang disediakan pusat itu. Sejumlah 3,000 kanak-kanak istimewa mendaftar bagi pemulihan dan penjagaan kesihatan di pusat yang ditubuhkan pada April 2006.

Pada masa ini terdapat 500 kanak-kanak menghadiri kelas-kelas pendidikan dan program pencegahan awal dengan sokongan Persatuan Perkhidmatan Komuniti Sibu.

Pada majlis itu, Rosmah turut menyampaikan “angpow’ kepada kanak-kanak istimewa. Turut hadir ialah Pengerusi Pusat Agape Sibu Datuk Tiong Thai King.


Tags: ,

Leave a Comment